“Haram iklan berkenaan lebih-lebih lagi ia menjadi keghairahan. Penggunaan gambar wanita dalam kadbod dan patung juga tidak boleh. Sudah jadi benda negatif pula bila orang cium, pegang dan buat macam-macam kepada iklan itu,”- Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria .
Beliau menegaskan sebarang bentuk iklan yang memaparkan wajah serta tubuh wanita adalah haram.
Jelas beliau, pengharaman itu termasuk iklan kadbod, patung plastik atau yang seumpamanya, jika memperlihatkan wajah dan tubuh wanita, ianya haram di sisi agama Islam.
Ahad lalu, Shell sebuah syarikat pembekal bahan api dan petrol terkenal mengarahkan poster Nor Shafila yang mempromosikan bahan api ditarik balik serta merta.
Ia ekoran tindakan tidak bertanggungjawab segelintir individu lelaki yang melakukan perbuatan tidak bermoral ke atas poster Nor Shafila sehingga viral di media sosial.
Sebelum ini, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman juga ada menegaskan bahawa sasaran pelakuan tidak senonoh oleh lelaki-lelaki berkenaan adalah kerana Shell menggunakan wanita dalam iklannya.
Katanya, menggunakan wanita untuk melariskan jualan adalah perbuatan mengeskploitasi yang menyimpang daripada nilai kesucian wanita dalam Islam.
Bagaimanapun kenyataan Ustaz Abdullah diselar Ketua Wanita Parti Amanah Negara (PAN) apabila portal liberal Free Malaysia Today yang sering memutar belit isu berkaitan Islam mendakwa Dr Siti Mariah Mahmud berkata, tidak wanita yang menjadi model berkenaan tidak bersalah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen yang menang di Parlimen Kota Raja atas tiket PAS pada 2013 tetapi bersikap mementingkan diri sendiri dengan menyertai PAN berkata, model wanita adalah satu pekerjaan.
“Bila masyarakat kita menerima taraf wanita sama dengan lelaki, maka kita tak boleh menghalang wanita daripada menjawat pekerjaan yang dianggap halal oleh masyarakat.
“Alhamdulillah, kita sudah dapat mendidik masyarakat secara beransur. Kalau dulu model wanita separuh bogel, kini sudah sopan,” katanya yang turut meminta Shell menaikkan semula iklan kadbod berkenaan.