
SEMAKIN GARANG, TERANG DAN BERANI. Itulah yang kita mahukan. Bukan asyik berdiam dan memepertahankan diri semata-mata. Telah tiba masanya pemimpin kita "menyerang" musuh-musuh politiknya supaya rakyat tidak terus tertipu dengan fitnah dan auta pembangkang.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyalahkan “salah seorang pemimpin terdahulu” di atas nasib yang menimpa syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines (MAS) ketika berhadapan masalah baru-baru ini.
Tanpa menyebut pemimpin yang dimaksudkannya itu, Najib berkata beliau tidak akan mengikut langkah itu dan berikrar memulihkan MAS, yang kini dikenali sebagai Malaysia Airlines Berhad atau MAB.
“Kita telah melalui banyak tempoh sukar. Sejarah MAS dipenuhi keputusan buruk oleh salah seorang pemimpin yang mendahului saya.
“Itu adalah mimpi ngeri yang menimpa MAS. Tetapi saya tidak akan melalui jalan itu, saya akan membetulkannya,” katanya pada majlis sambutan Hari Raya anjuran Malaysia Aviation Group di Sepang, hari ini.
“Saya akan memastikan MAS pulih dan menjadi syarikat penerbangan utama di dunia.”
Dua perdana menteri sebelum ini adalah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi.
Di zaman Mahathir, antara keputusan kontroversi berkaitan MAS adalah penswastaannya yang menyaksikan Tan Sri Tajudin Ramli menjadi pengerusi syarikat itu.
Beliau kemudian menjual pegangannya dalam MAS kepada kerajaan pada harga RM1.79 bilion ketika krisis ekonomi 1997.
Abdullah, atau Pak Lah pula pernah didakwa terlibat dalam penswastaan khidmat katering dalam MAS, apabila syarikat Brahim’s dikaitkan dengan ahli keluarganya menerima kontrak.
Najib berkata fasa pertama pemulihan MAS, iaitu untuk menstabilkan kewangannya, sudah selesai dan kini ia bergerak ke fasa kedua, antaranya menambah lagi laluan penerbangan ke China seperti yang diumumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya Peter Bellew beberapa bulan lalu.
“Saya percaya MAS mampu kembali mendapat penarafan 5 bintang oleh Skytrax menjelang 2018,” katanya.
Dalam pada itu, Najib juga meluahkan rasa gembira apabila hampir semua 6,000 bekas kakitangan MAS yang dilepaskan ketika permulaan penstrukturan semula dulu sudah mendapat pekerjaan.
“Saya diberitahu 78% telah mendaftar untuk mendapatkan peluang pekerjaan lain, dan 98% daripada jumlah itu telah berjaya mendapat pekerjaan.